Sunday, 28 June 2015

Resepi Roti John Mudah & PASTI Sedap

Assalamualaikum.Selamat berpuasa.

Maaf ya sebab entri kali ini berkaitan resepi. Dibaca pula di siang hari berpuasa. Diharap bersabar menunggu waktu berbuka.

Resepi Roti John ini saya dapat dari FB Pn Zaila. Tergoda dengan gambar yang diletak beliau, saya mencuba resepi ini. Memang sangat mudah, ringkas dan pastinya sedap.

Bagi saya, resepi ini sangat-sangat berbaloi dicuba jika kita ingin menjamu ahli keluarga yang ramai. Sebabnya, memang semua orang akan puas hati makan. Biasanya, kalau dibeli Roti John di pasar malam, setiap seorang hanya dapat sehiris saja. Mana cukup tambah-tambah kalau ada 5 orang adik lelaki yang sedang membesar macam saya ni.Nak beli banyak memang tak. Jadi kali ini, semua akan dapat satu setiap seorang. Boleh makan puas-puas.

Apa tunggu lagi. Jom intai resepi di bawah. Resepi ni dibuat untuk 7/8 orang.

Bahan-bahan:

- 1 paket daging kisar
- 1 labu bawang besar (potong dadu)
- 3 sudu serbuk kari
- roti hot dog
- 5/6 biji telur
- sos cili, mayonis, sos lada hitam
- timun, lobak merah, kubis (jika mahu)
- sedikit garam

Cara-caranya:

1. Goreng daging kisar yang telah dibasuh dengan sedikit minyak. Daging ni tak semestinya 1 paket guna sebab banyak. Ikut selera kita. Kalau buat separuh, simpan dalam peti sejuk esok boleh buat lagi.

2. Masukkan bawang besar dan bila bawang dah masak, masukkan serbuk kari.

3. Perisakan dengan sedikit garam. Ketepikan daging.

4. Pukul telur dalam mangkuk kemudian masukkan daging yang digoreng tadi. Kacau sebati.

5. Panaskan kuali leper, letakkan telur + daging kita sesuai untuk satu roti hot dog. Kemudian tekapkan roti. Sekejap saja masak roti john ni. Dah yakin masak, angkat dan boleh dihias,

6. Hiaskan roti john kita dengan sos cili, mayonis, dan sos lada hitam. Kalau suka makan sayur, boleh la diletak banyak-banyak.

7. Siap. Sedia untuk dimakan,


Selamat mencuba. Jumpa lagi.

~ Faten Fattah~

Saturday, 27 June 2015

Nota Ringkas Bab Garis Lurus Tingkatan 4

Assalamualaikum semua.

Dah berhari tak masukkan entri dalam blog. Tak sempat sebenarnya. Tambah dengan masalah internet 'agak' lambat, bertambah tak sempat jadinya.

Untuk kali ini, saya kongsikan nta ringkas Matematik Tingkatan 4 bab Garis Lurus. Bab yang selalu dikata sukar oleh pelajar.

Bab Garis Lurus akan disoal kepada pelajar dalam Kertas 1 dan Kertas 2. Soalan yang sering ditanya melibatkan persamaan garis lurus dan juga pintasan-x atau pintasan-y. Penggunaan garis selari juga penting di dalam menyelesaikan soalan persamaan garis lurus.

Kali ini juga saya sertakan nota ringkas bab Garis Lurus ini.





Seperti kebiasaan, nota saya adalah nota bertulis tangan. Jadi, jika ada apa-apa masalah boleh hubungi saya ya.

Wednesday, 24 June 2015

Ulasan Kelas Asas Blog & Fanpage

Assalamualaikum dan Salam Ramadhan semua.

Alhamdulillah sudah 6 hari kita semua menjalani ibadah puasa. Semoga ibadah kita diterima Yang Maha Esa. InsyaAllah.

Sebenarnya, sudah beberapa hari saya berusaha menyiapkan entri kali ini. Rasanya payah benar untuk saya membuat ulasan bagi Kelas Asas Blog & Fanpage yang telah saya ikuti ini. Macam-macam yang saya fikirkan. Bagaimana nak tulis? Ayat apa yang sesuai?

Rasanya saya patut mulakan begini:

Saya Faten. Seorang yang masih belajar mengenai kehidupan dan keadaan sekeliling. Suka menggunakan khidmat Pak Cik ‘Google’ untuk mengetahui mengenai apa sahaja. Dan melalui khidmat Google jugalah saya sampai ke blog Puan Zaila Mohamad.

Sejujurnya, saya telah membaca entri-entri yang terdapat dalam blog Pn. Zaila. Segala perkongsian dan pengalaman beliau selama ini. Kemudian, saya beranikan diri untuk menghubungi beliau dan bertanyakan mengenai Kelas Asas Blog & Fanpage ini.

Alhamdulillah, rezeki saya apabila dapat bertemu Pn Zaila sendiri ketika beliau balik bercuti ke Kelantan. Banyak sebenarnya yang saya telah belajar tapi masih banyak juga yang perlu saya belajar mengenai blog dan fanpage. Seronok sebenarnya apabila dapat belajar benda baharu dan pada masa yang sama meningkatkan keyakinan serta potensi diri.

Sudah 2 minggu saya menyertai keluarga besar Working At Home Mom (WHAM) ini. Takut sebenarnya untuk menyertai kelas ini kerana saya menyangka bahawa ini hanya untuk para ibu sahaja. Ternyata saya silap, semua orang boleh sertai kelas ini. Tak kira anda bergelar ibu  atau tidak. 

Melalui Kelas Asas Blog & Fanpage ini, saya mengenali ramai orang. Apa sahaja soalan atau masalah, kami kongsi dan bincang bersama. Walau tidak pernah berjumpa, tapi kami seperti sahabat yang telah lama berkenalan. Saya benar-benar rasa bertuah untuk mengenali semua ahli Kelas Asas Blog & Fanpage di bawah kelolaan Pn. Zaila.

Kelas Asas Blog & Fanpage ini boleh diikuti oleh semua orang. Tak kira anda siapa dan di mana anda berada. Kelas berjalan secara online dan mendapat tunjur ajar berterusan dari cikgu yang berpengalaman. Jika anda SURI RUMAH yang ingin membantu MENAMBAH PENDAPATAN keluarga, SERTAI kelas ini. Anda seorang GRADUAN yang masih mencari apa yang perlu dilakukan, SERTAI kelas ini. Anda ingin belajar bagaimana MEMBINA BLOG dan ingin mendapat tunjuk ajar dari  ‘blogger’ yang lebih ‘senior’? SERTAI kami di Kelas Asas Blog & Fanpage ini. Anda TIDAK akan MENYESAL.

Ya, saya masih baru dalam dunia blog ini. Masih banyak yang perlu saya belajar. Tapi saya yakin, rakan-rakan yang saya kenal dari Kelas Asas Blog & Fanpage ini akan terus membantu saya untuk maju dan menyokong segala usaha saya.

Apa tunggu lagi? Jom sertai saya dan rakan-rakan dalam Kelas Asas Blog & Fanpage. Insya Allah, semoga kita semua berjaya dalam apa sahaja yang kita usahakan. Dunia dan akhirat. Aamiinn.


Jumpa lagi.

Sunday, 21 June 2015

Jawapan Ulangkaji Tingkatan 3

Assalamualaikum.

Macam mana dengan latihan Tingkatan 3? Dapat buat?

Jom semak betul atau tidak jawapan anda.

Poligon

1. C                                    6. A
2. A                                    7. B
3. B                                    8. D
4. C                                    9. A
5. A                                   10. D

Ungkapan Algebra

1. B                                    7. B
2. B                                    8. A
3. D                                    9. C
4. D                                   10. B
5. B                                   11. A
6. A                                   12. D

Betul semua soalan? Alhamdulillah

Nanti kita cuba latihan lain lagi ya

Jumpa lagi.




Saturday, 20 June 2015

Ulangkaji Tingkatan 3

Assalamualaikum dan Salam Ramadhan semua.

Rasanya dah berhari tidak berkongsi apa-apa tentang matematik. Jadi hari ini, saya lampirkan latihan berkaitan Kertas 1 SPM.

Latihan yang dikongsi ini merupakan daripada bab poligon dan ungkapan algebra. Kebanyakan pelajar kelas saya mengatakan bahawa mereka mengambil banyak masa untuk mendapatkan jawapan bagi soalan ini.

Bagi saya, ini mungkin terjadi disebabkan kurang membuat latihan. Jadi, apa tunggu lagi? Cubalah latihan di bawah ya adik-adik.



Jawapannya akan saya letakkan kemudian. Habiskan latihan dan yakin dengan jawapan anda.

Jawapan latihan = Jawapan .

Selamat Berpuasa.







Friday, 19 June 2015

Rempah Segera Ustazah

Assalamualaikum.

Makan apa berbuka hari ni?

Alhamdulillah, selesai satu hari kita berpuasa dalam Ramadhan tahun ini. Semoga diterima Allah hendaknya ya.

Di Kuala Krai hari ni cuacanya agak mendung, jadi letihnya tidak terasa sangat. Cuma bila cuaca mendung,  ngantuk pula yang datang. Kalau boleh dalam keadaan duduk pun mata nak tertutup. Rasa nikmat bila dapat lelapkan mata.(hehee)

Rasanya hari ini nota dan latihan matematik perlu saya tunda dulu ya. Sebabnya, saya ingin berkongsi tentang produk atau penyelamat kepada para ibu dan isteri yang bekerjaya di luar sana.

Nak tahu apa dia? Inilah ‘REMPAH SEGERA USTAZAH’.

Saya tak tipu. Produk ni memang penyelamat kepada ibu bekerjaya di luar sana. Sebab apa, inilah yang akan membantu para ibu bekerjaya dalam menyediakan juadah kepada keluarga. Kekangan waktu adakalanya menyebabkan para ibu bekerjaya tidak sempat menyediakan juadah kepada keluarga. Siapa yang tidak mahu suami dan anak-anak merasa masakan dari air tangan sendiri.

Kini, REMPAH SEGERA USTAZAH adalah penyelesaiannya. Tak perlu lagi kupas bawang atau sediakan bahan masakan lagi. Nak tahu sebab apa? Semuanya dah ada dalam pes REMPAH USTAZAH.

TIADA bahan pengawet & MSG. TIDAK perlu ditumis. Cuma masukkan bahan lauk dan santan/susu cair sahaja. Senang kan? Yang penting, HALALAN THOYYIBAN.

Rempah segera Ustazah banyak jenis tau. Antaranya

1.       Gulai kawah / Darat
2.       Sup
3.       Kuzi
4.       Rendang
5.       Kerutuk hitam
6.       Sambal tumis
7.       Tandoori
8.       Ayam goreng / Ayam berempah

(*Gambar Ayam berempah dan Kuzi tiada di sini)

Banyak pilihan yang ada.

Jadi, apa tunggu lagi? Jom sediakan juadah untuk keluarga tersayang. Tambah bulan Ramadhan yang sedang kita lalui ni, apa kata sediakan masakan dari air tangan kita sendiri. Yang diakui HALAL dan jimat.

MURAH sangat. 1 paket hanya RM 9 sahaja.

CEPAT, LAZAT, BERKHASIAT SERTA BERMUTU TINGGI



Jumpa lagi semua.



Wednesday, 17 June 2015

Ahlan Ya Ramadhan

Assalamualaikum dan salam ramadhan untuk semua.

Alhamdulillah. Ramadhan datang lagi tahun ini. Ramadhan yang sentiasa dinanti oleh semua.

Bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat. Semoga Ramadhan yang kita temukan pada tahun ini lebih baik dari sebelumnya. InsyaAllah.

Alhamdulillah, kita masih menyambut kedatangan Ramadhan tahun ini dengan suasana yang aman dan selesa. Walaupun ada di antara kita yang diuji Allah SWT dengan gempa bumi dan juga banjir. Semoga Allah SWT mengurniakan pahala atas kesabaran kalian.

Untuk kali ini, mari kita baca dan hayati sabda Rasulullah ï·º.

Dari Salman Al-Farisi r.a, dia berkata “ Rasulullah ï·º berkata kepada kami pada akhir Bulan Sya’aban. Baginda bersabda :

“ Wahai manusia, telah datang sekarang satu bulan yang mulia, bulan yang paling diberkati yang mana terdapat di dalamnya satu malam yang tersangat besar kelebihannya daripada seribu bulan. Inilah bulan di mana Allah mewajibkan pada siang harinya untuk berpuasa. Dan Dia telah menjadikan Terawih sebagai sunnah di malam itu.

Barangsiapa ingin mendekatkan dirinya kepada Allah dengan melakukan apa saja amalan baik, kepadanya diganjari sebanyak amalan fardhu yang dilakukannya pada masa-masa yang lain. Dan barangsiapa melakukan satu amalan fardhu, kepadanya akan diganjari sebanyak 70 amalan fardhu yan dilakukannya di masa-masa yang lain.

Sesungguhnya ini adalah sebuah bulan kesabaran, dan ganjaran bagi kesabaran sejati ialah Syurga.
Ini adalah bulan simpati terhadap saudara-saudaramu.
Ini adalah bulan dimana rezeki bagi orang yang benar-benar beriman ditambah.

Barangsiapa memberi makan orang yang berpuasa, sebagai pembuka puasanya, kepadanya adalah keampunan terhadap dosa-dosanya dan pembebasan daripada api Jahannam. Dan untuknya adalah ganjaran yang sama (dengan orang yang diberinya makan) tanpa mengurangi pahala orang itu sedikitpun.”

Daripada hadith ini kita dapati banyak kelebihan-kelebihan yang besar yang dapat diperolehi daripada bulan Ramadhan.

Jadi marilah kita sama-sama berusaha untuk mengejar nikmat dan kelebihan yang ada dalam bulan Ramadhan Al-Mubarak ini. InsyaAllah.


Semoga Allah mengurniakan kita kekuatan untuk beribadat dan menambah amalan-amalan kita. Aamiin

Jumpa lagi


Tuesday, 16 June 2015

Seronoknya Matematik

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Entri hari ini agak lewat sedikit. Banyak urusan yang perlu diselesaikan.

Di 'facebook' beberapa hari ini, saya dapati ada rakan - rakan yang berkongsi tips dan kaedah matematik. Tips dan kaedah yang dicipta untuk menambah minta serta kefahaman pelajar terhadap matematik. Biasalah, ramai yang menganggap matematik sebagai subjek yang membosankan. Tapi sekarang sudah banyak kaedah menarik yang boleh digunakan pelajar untuk memahami matematik.

Saya kongsikan sedikit tips itu di bawah



Senang bukan? Jadi, kalau anda ingin tahu lebih lanjut tips serta kaedah lain sila ke sini.

Jumpa lagi semua.

Pengumuman Ramadhan sudah dibuat tadi, selamat berpuasa ya. Semoga ibadah puasa kita tahun ini lebih baik berbanding sebelumnya. InsyaAllah.








Monday, 15 June 2015

Jawapan Garis Dan Satah Dalam 3 Dimensi

Assalamualaikum.

Selamat hari Isnin semua. Tinggal beberapa hari saja lagi untuk kita bertemu dengan bulan Ramadhan Al-Mubarak. Semoga ibadah kita pada Ramadhan kali ini lebih baik berdanding tahun sebelumnya. Insya Allah.

Jadi, seperti yang saya janjikan, saya akan kongsikan jawapan bagi latihan bab Garis Dan Satah Dalam 3 Dimensi.


Macam mana? Semua jawapan betul? Alhamdulillah

Kalau bab ini sudah mahir, kita akan teruskan ke bab seterusnya nanti.

Jumpa lagi.


Sunday, 14 June 2015

Tingkatan 4 : Garis Dan Satah Dalam 3 Dimensi

Assalamualaikum dan selamat pagi.

Apa khabar semua?

Hari ini saya akan kongsikan nota ringkas Bab Tingkatan 4 iaitu Garis dan Satah Dalam 3 Dimensi.

Bab ini akan diuji kepada pelajar dalam Kertas 1 dan juga Kertas 2. Terdapat du jenis soalan yang sering ditanya untuk bab ini.

1. Nama sudut.
2. Nilai sudut.

Di bawah ini adalah nota tulisan tangan yang telah saya sediakan untuk pelajar - pelajar saya.
Cuba fahamkan nota dan buat latihan yang disediakan.

Semoga berjaya.


Jika ada sebarang keraguan dan soalan, nyatakan di ruang komen. Kita akan bincangkannya bersama. Jawapan latihan berada di sini. Selamat mencuba dan jumpa lagi.





Saturday, 13 June 2015

Teka - Teki Matematik

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua semua.

Hari ini, kita buat aktiviti santai - santai sahaja tapi  masih menggunakan matematik.

 Jom kita cuba jawab soalan teka - teki matematik pula. Kredit soalan ini kepada tuan punya blog 1harinanti.

Apa tunggu lagi. Silalah jawab semua. Jawapan akan saya kongsikan di ruangan komen nanti.


SOALAN 1 :
Anda menyertai satu perlumbaan. Anda mengejar dan memotong pelumba di hadapan anda. Sekarang, anda berada di tempat ke berapa?


SOALAN 2 :
Jika anda memotong tempat orang yang terakhir, anda berada di tempat ke?


SOALAN 3 : 
Soalan kira - kira bermuslihat. Perhatian! Soalan ini mesti menggunakan kaedah congakan sahaja. Jangan guna kertas atau mesin kira -kira.

Ambil 1000 dan tambah dengan 40. Sekarang tambah lagi 1000. Tambah lagi 30. Tambah lagi 1000. Tambah lagi 20. tambah lagi 1000. Tambah lagi 10. Berapa hasil tambah yang anda dapat?


SOALAN 4 :
Beberapa bulan mempunyai 30 hari. Juga ada yang mempunyai 30 hari. Soalannya adalah, berapa bulan yang mempunyai 28 hari?


SOALAN 5 :

Jika doktor memberikan anda 3 biji pil dengan syarat anda mesti menelan sebiji pil dengan jarak waktu setengah jam. Berapa lama masa yang diperlukan untuk anda menghabiskan semua pil itu?



Macam mana? Dapat jawab semua teka - teki di atas?

Fikir - fikirkan dahulu. Jumpa lagi.



Friday, 12 June 2015

Dulu Senang Sekarang Susah

Selamat pagi semua.

Kali ini ingin saya kongsikan keluhan dari salah seorang pelajar saya. Ceritanya bermula apabila saya minta mereka selesaikan kertas model SPM tanpa melihat nota atau rujukan.

Pada mulanya, terdengar juga rungutan dari mereka. Saya katakan ini adalah latihan untuk mereka membiasakan diri dengan peperiksaan sebenar.

Mereka akur, tetapi masih berterusan meminta untuk melihat rujukan. Sehinggalah seorang daripada mereka berkata " Ishh, tak dapat jawapan la. Dulu masa mula - mula belajar ikut bab, senang sangat dapat jawapan. Sekarang ni susah. Tak ingat langsung macam mana nak buat."

Yang lain, bila dengar saja kata - kata kawannya, mulalah memberi reaksi. Ada yang mengiyakan, langsung ada yang tidak ambil kisah.

Saya biarkan dahulu mereka, sehinggalah saya tanya sama ada mereka buat atau tidak latihan matematik di luar kelas. Maksudnya, inisiatif mereka sendiri tanpa arahan mana - mana pihak. Semuanya tunduk sambil menayangkan senyuman yang lansung tidak manis.

Kemudian, bermulalah sesi 'ceramah' kami. Sekejap saja. Cuba fikirkan, bagaimana kita mampu untuk menjawab soalan yang cuma kita lihat seminggu sekali.Itu pun dalam masa berapa jam sahaja.  Saya tahu mereka banyak tugas lain yang perlu diselesaikan, tapi sekurang - kurang luangkan sedikit masa untuk buat latihan matematik.

Buat permulaan, cuba latih diri untuk selesaikan 2 hingga 3 soalan. Kemudian, bila sudah agak mahir, tambah bilangan soalan.

Jangan beri banyak alasan. Jika orang lain boleh berjaya, kenapa tidak kita? Cuba dulu, baru kita tahu bahawa matematik tidak dicipta untuk membebankan kita.

Kredit gambar : Google

Jadi, cuba latih diri dan lihat hasilnya.

Sampai jumpa lagi semua.


*Maaf jika entri kali ini agak panjang sedikit. 

Thursday, 11 June 2015

Latihan Bab Tingkatan 4 : Set

Assalamualaikum semua.

Macam mana dengan bab Set semalam? Boleh faham macam mana nak dapat jawapan yang betul?

Hari ini, saya sediakan lagi soalan berkaitan bab Set. Biar kita betul - betul mahir dan boleh tumpukan pada bab lain pula.

Cuba jawab soalan yang saya sediakan di bawah.

 Ingat! Jangan putus asa. Cuba sampai berjaya. Jika ada masalah, jangan segan untuk kongsikan dengan saya. Kita akan bincangkan bersama.

Jawapan bagi soalan di atas disediakan


Sampai jumpa lagi semua



Wednesday, 10 June 2015

Nota SPM Tingkatan 4 : SET


Assalamualaikum.

Bagaimana khabar anda hari ini?

Seperti yang telah saya janjikan, hari ini saya akan kongsikan nota ringkas untuk rujukan calon - calon SPM.

Bab Set ini telah anda belajar semasa Tingkatan 4 lagi. Soalan berkaitan bab ini akan disoal kepada anda di dalam Kertas 1 dan Kertas 2.

Untuk Kertas 1, kemungkinan 2 - 3 soalan ini akan diuji. Manakala bagi Kertas 2, satu soalan akan disoal di mana pelajar diminta untuk melorek Gambar Rajah Venn berdasarkan operasi diberi.

Nota ringkas bab ini telah saya kongsikan di bawah

                                                                           




Jika ada sebarang masalah dan pertanyaan, kongsikan di sini dan kita akan bincangkannya bersama.

Sekian untuk hari ini, pastikan anda mencuba soalan yang diberi. Semoga usaha kita hari ini membuahkan kejayaan untuk masa depan.

Jumpa lagi.

Hubungi saya di 
emel : fatenfattah@gmail.com
Tel: 017-901 5237

Tuesday, 9 June 2015

Kenapa Perlu Belajar Matematik?

Assalamualaikum dan selamat pagi semua.

Tertarik dengan tajuk entri kali ini?

Matematik selalunya menjadi antara subjek yang tidak digemari pelajar. Apa yang selalu ditanya mereka adalah kenapa perlu belajar matematik. Bila nak guna matematik yang kita belajar?Sebelum kita lihat apa kepentingan matematik, cuba jawab soalan di bawah.

1.  Bagaimana kita tahu jumlah harga barangan yang kita beli di kedai atau kantin sekolah?

2. Bagaimana kita tahu kita sudah bayar dengan jumlah yang betul?

3. Bagaimana seorang jurutera boleh mengetahui bentuk, tinggi dan sudut dalam membina satu bangunan?

4. Bagaimana seorang doktor boleh mengetahui jumlah dos ubatan yang betul untuk diberi kepada pesakit?

Jadi, dapat anda rumuskan jawapan bagi soalan di atas? Ya, kesemuanya memerlukan matematik. Bermula dari matematik asas sehinggalah kepada yang lebih kompleks. Matematik dan kehidupan kita saling berkait, cuma kita sahaja yang tidak menyedarinya. Benda yang berada di sekeliling kita menggunakan matematik. Nombor, hasil tambah dan tolak, darab bahagi, jarak, masa dan lain - lain.

Sekarang macam mana? Nampak tak kepentingan matematik yang kita belajar?

Jadi, jangan putus asa untuk memahirkan diri dengan matematik. Pastikan anda tidak ketinggalan dalam arus pembangunan dunia yang semakin mementingkan sains dan matematik.   

 Kredit gambar : Google

Ini sahaja untuk hari ini. InsyaAllah dalam entri seterusnya saya akan berkongsi nota ringkas matematik untuk pelajar SPM.

Sunday, 7 June 2015

Pengenalan



Assalamualaikum semua.

Sebelum kita bertukar - tukar pendapat dan tahu lebih lanjut mengenai Tips Skor A Matematik, mari kita berkenalan dahulu.

Saya Faten Abdul Fattah, seorang graduan dalam bidang Matematik dari Universiti Putra Malaysia. Berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang

Saya menamatkan pendidikan awal di SK Batu Mengkebang, Kuala Krai sebelum meneruskan pengembaraan ilmu saya ke SMK Tengku Afzan, Kuantan sehingga tingkatan 2. Di SMK Astana saya menamatkan pendidikan menengah dan kemudiannya mendaftar di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang. Alhamdulillah, saya telah diberi peluang untuk terus menyambung pelajaran di Universiti Putra Malaysia dalam bidang Sains Matematik.

Setelah tamat pengajian, saya telah diberi peluang untuk menjadi guru ganti di sekolah sekitar Kuala Krai. Banyak yang saya pelajari sepanjang bergelar guru ganti. Saya dapat mengetahui perkembangan pendidikan negara yang semakin menekankan kemahiran berfikir aras tinggi, berkongsi pendapat serta panduan dari guru - guru sekolah.

Ada juga pelajar - pelajar yang bercerita tentang kebimbangan mereka dalam menghadapi peperiksaan besar seperti SPM. Rata - rata mereka mempunyai masalah dalam Matematik. Bagaimana untuk skor? Kaedah yang mudah digunakan? Di mana patut bermula dan banyak lagi.

Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk membuka sendiri kelas tusyen matematik saya di rumah dengan hasrat membantu serta berkongsi ilmu dengan pelajar. Saya cuba untuk membimbing dan memberi mereka semangat untuk terus meminati Matematik.

Terhasilnya blog ini adalah dari pendapat mentor saya, Zaila Mohamad yang mahukan saya terus berkongsi ilmu yang saya ada dengan lebih ramai orang lagi. Semoga usaha dan hasrat ini akan berhasil dan mendapat keredhaan dari Allah SWT. InsyaAllah.

Anda boleh hubungi saya di
emel : fatenabdulfattah@gmail.com
Fb : Faten Fattah
Tel : 017-901 5237

Sampai kita bertemu lagi dalam entri seterusnya.